Friday, March 15, 2013

Kementerian Pelajaran jawab isu guru hina anggota polis


DIPETIK DARI UTUSAN ONLINE...

Kementerian Pelajaran jawab isu guru hina anggota polis

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung isu seorang guru yang didakwa telah mengeluarkan pernyataan menghina anggota polis yang bertugas di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial, Facebook.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud di sini hari ini.
Berikut adalah kenyataan akhbar terbabit yang turut boleh dibaca di laman web kementerian tersebut iaitu http://www.moe.gov.my/v/kenyataan-media-view?page=1&id=316

KENYATAAN AKHBAR BERKAITAN SEORANG GURU DI KELANTAN MENGHINA ANGGOTA POLIS MELALUI LAMAN FACEBOOK

1. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook seorang guru di negeri Kelantan yang membuat posting dengan kata-kata yang boleh dianggap menghina pasukan keselamatan kita yang sedang bertugas dalam `Ops Daulat’ di Lahad Datu, Sabah bagi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta. Penulisan di laman Facebook tersebut dengan jelas melakukan penghinaan terhadap pasukan keselamatan kita khususnya Polis DiRaja Malaysia.

2. Adalah dimaklumkan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan kenyataan biadap yang dilakukan oleh guru berkenaan dan akan memastikan tindakan tegas diambil atas perbuatan tersebut. Seorang guru sepatutnya menjalankan amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab malah sepatutnya menjadi model semangat patriotisme kepada masyarakat khususnya anak didik mereka. Pasukan keselamatan yang sedang bertugas menyambung nyawa di perbatasan demi maruah dan kedaulatan negara sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang sangat mulia. Kenyataan menghina tersebut telah mengguris hati banyak pihak khususnya keluarga mereka serta menjejaskan reputasi dan imej warga pendidikan dalam negara ini yang sentiasa memberi sokongan padu kepada PDRM dan ATM.

3. KPM serta seluruh warga pendidikan juga sentiasa mendoakan agar pasukan keselamatan kuat yang sedang bertugas di perbatasan sentiasa selamat dan dikurniakan kekuatan serta semangat kental dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara kita yang tercinta ini.

Terima kasih.
TAN SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130314/dn_53/Kementerian-Pelajaran-jawab-isu-guru-hina-anggota-polis#ixzz2NWzCpcZ7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment